Mat rempit, peragut penagih tegar

Wednesday, May 13, 2009

Gambar Ihsan

PUTRAJAYA 12 Mei - Kajian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati kegiatan mat rempit dan jenayah ragut sebahagian besar melibatkan penagih dadah tegar.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan memastikan semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya bekerjasama menangani penyalahgunaan dadah secara lebih berkesan.


Sebagai permulaan, jelas beliau, timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop akan dipertanggungjawab untuk mengetuai sebuah pasukan khas bagi tujuan itu.


"Gejala sosial yang semakin menular sekarang ada kaitan dengan penyalahgunaan dadah, sama ada mat rempit atau jenayah ragut.


"Insiden-insiden yang dilaporkan selalunya ada kaitan dengan penagihan dadah," katanya pada sidang akhbar selepas melawat ibu pejabat AADK di sini hari ini.


Ia merupakan lawatan pertama beliau ke agensi berkenaan sejak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada 9 April lalu.


Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat selama kira-kira tiga jam oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd. Bakir Zin.


Turut mengiringi beliau ialah seorang lagi timbalannya, Jelaing Mersat dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mahmood Adam.


Sementara itu, Hishammuddin memberitahu, cabaran utama dalam menangani masalah dadah di negara ini melibatkan dadah jenis sintetik.


Tegasnya, KDN akan memberi tumpuan untuk membanteras kemasukan dadah jenis itu dari luar negara.


Source: Utusan Malaysia, 13 Mei 2009

0 comments: