Tangani gejala rempit - TPM

Wednesday, May 13, 2009

Oleh HERMAN HAMID, pengarang@utusan.com.my


PADAH MEREMPIT...Mohd. Yunus Yusuf diiringi ibunya semasa dibawa ke Mahkamah Khas Trafik untuk perbicaraan kes 14 remaja yang ditahan dalam satu operasi cegah lumba haram di Ipoh, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Mei – Gejala mat rempit yang semakin membimbangkan perlu segera ditangani sebelum ia merebak menjadi ‘wabak’ yang mengundang pelbagai masalah lain dalam masyarakat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu, satu pendekatan jangka panjang yang holistik perlu dirangka bagi mengawal gejala ini melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk anggota masyarakat.


‘‘Kita perlu melihatnya secara holistik sama ada ia berkaitan dengan soal pendidikan atau di luar pendidikan seperti yang dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, ibu bapa, keluarga serta agensi berkaitan dalam membangunkan belia.


‘‘Kita perlukan pendekatan jangka panjang untuk menyelesaikan kecenderungan antisosial yang mereka lakukan. Kita perlu lihat macam mana nak kawal gejala ini daripada merebak menjadi wabak kepada masyarakat,’’ katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran di Bukit Kiara di sini hari ini.


Sejak kebelakangan ini gejala mat rempit menjadi perhatian serius berikutan kegiatannya yang semakin berleluasa hingga mengancam keselamatan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya.


Selain terbabit dalam kegiatan lumba haram, golongan ini dikatakan semakin berani terlibat dalam jenayah termasuk kegiatan ragut dan bunuh.
Source: Utusan Malaysia, 13 Mei 2009

0 comments: