‘Lorong tikus’ mat rempit

Sunday, April 26, 2009

Oleh HADZLAN HASSAN dan KHAIRUL HAMIZY RAMLEE
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Kewujudan ‘lorong tikus’ sekitar jalan utama di Kampung Wakaf Beruas, Durian Burung dan Kampung Simpang Tok Ku, di sini, membolehkan laluan berkenaan digunakan mat rempit untuk melarikan diri ketika diburu polis.

Kehadiran kumpulan itu yang ada kalanya mencecah sehingga ribuan pelumba dalam satu-satu masa, khususnya setiap malam Jumaat, menyebabkan penduduk kawasan berkenaan berasa tidak selamat dan terancam.

Malah, kumpulan itu juga langsung tidak mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama kanak-kanak atau warga emas yang melintas jalan.

Ketua Turus Trafik Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man, berkata polis menyedari kewujudan lorong kecil di kawasan itu yang dikenali sebagai ‘lorong tikus’ di kalangan pelumba untuk meloloskan diri dari sekatan polis.

Menurutnya, polis mengenal pasti laluan itu serta helah digunakan mereka kerana sering lesap setiap kali polis mengadakan sekatan dalam operasi mencegah lumba haram.

“Untuk tujuan itu, kita akan memastikan golongan berkenaan yang biasanya ‘ghaib’ selepas kita mengadakan operasi tidak terlepas daripada sekatan dan kita mempunyai strategi sendiri... tunggulah hasilnya nanti,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pemangku Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Nor Azmi Esa, berkata sebanyak 62 motosikal disita dalam satu operasi kelmarin.

“Kenderaan itu ditahan dalam operasi mencegah lumba haram di jalan Wakaf Beruas dan Durian Burung bermula jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira enam jam kemudian.

“Sebanyak 57 saman dikeluarkan dan polis turut melakukan ujian air kencing ke atas 56 mat rempit, dengan seorang didapati positif dadah,” katanya.

Menurutnya, operasi itu membabitkan 100 anggota polis bantuan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Source: Harian Metro, 26/4/09

0 comments: