“Nak tonjol dunia mat rempit” – Ahmad Idham

Sunday, April 5, 2009


Ahmad Idham salah seorang penerbit dan pengarah filem dan drama yang aktif. Banyak filem dan drama arahannya mendapat sambutan mengalakkan. Drama terbaru arahannya, Rempit vs Impak Maksima yang mengisahkan anak-anak muda yang terlibat dalam lumba motor dan kereta drift.

Drama terbitan Excellence Pictures itu disiarkan dalam slot Aksi setiap hari Isnin di TV3. Selepas empat episod ditayangkan, ada cakap-cakap mengatakan isi drama itu tidak bermutu.

Malah terdengar juga ada segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka menonton kerana bimbang dijangkiti gejala tidak baik yang dimuatkan.

Benarkah ada banyak gejala tidak baik dalam drama itu sehingga tayangannya dipantau oleh ibu bapa?

Wartawan ROSLI MANAH menemuramah Ahmad Idham untuk mendengar sendiri apa pandangannya pasal isu gejala negatif dalam drama arahannya itu. Apa pula falsafah Idham di sebalik drama tersebut? Ikuti temu bual tersebut

Ada orang kata anda mempromsikan mat rempit?

Idham: Saya bukan mempromosikan mat rempit atau semata-mata mahu mengangkat mat rempit. Sebaliknya melalui drama itu saya cuba menunjukkan cara betul kalau seseorang berminat dengan permotoran. Saya cuba tunjukkan bagaimana seorang pemuda biasa yang suka melanggar undang-undang dan akhirnya menjadi seorang yang berjaya apabila dia memilih cara yang betul. Itulah watak utama yang dilakonkan oleh Iqram Dinzly.

Apa komen bila ada ibu bapa larang anak tonton drama itu?

Idham: Saya dapat tahu ada ibu bapa yang tidak benarkan anak mereka menonton drama Rempit vs Impak Maksima. Pihak kami ada selidik dan mendapati ada yang tidak benarkan anak mereka menonton di kaca TV kerana bimbang dijangkiti pengaruh yang tidak baik. Rupa-rupanya mereka sendiri pun tak tonton dulu sebelum membuat penilaian. Sepatutnya mereka tonton dulu dan tengok apa yang ada dalam itu sebelum membuat hukuman.

Mereka silap kerana selain di TV ia boleh tonton di komputer. Kalau ibu bapa tak benarkan anak tonton di kaca TV, mereka yang berminat akan tonton di komputer.

Tetapi rempit itu sendiri sudah menggambarkan sesuatu yang buruk?

Idham: Itulah masalahnya, apabila sebut rempit, semua orang ingat yang buruk sahaja. Saya tak salahkan mereka. Memang saya akui ada aktiviti buruk yang ditonjolkan kerana kami mahu menunjukkan dunia sebenar, apa itu dunia rempit. Janganlah buat rumusan mudah... asal menunggang motosikal sahaja dilabel golongan tidak baik seolah-olah meletakkan penunggang motosikal sebagai golongan yang tidak baik. Habis tu pak haji yang menunggang motosikal ke masjid itu dikira mat rempit juga ke? Atau penghantar surat itu pun dikira mat rempit juga.

Mungkinkah kerana banyak adegan tidak baik yang ditonjolkan?

Idham: Kita mahu menonjolkan dunia sebenar yang memang ada gejala tidak baik. Kita tunjukkan suasana rumah mereka yang kotor serta ada juga gejala dadah. Tapi dalam masa yang sama ada pengajarannya. Secara tak langsung kita memberitahu anak-anak muda yang tidak mengenal apa itu dunia rempit agar mereka faham sebelum memilih jalan itu.

Mungkin sebelum ini mereka terpengaruh dengan kawan-kawan yang terlebih dahulu terjebak apabila mereka diajak. Mereka yang tidak faham ini akan terus masuk tanpa mengetahui suasana dunia itu.

Adakah mahu mengajar dengan drama?

Idham: Secara tidak langsung, ya. Drama ini juga macam memberitahu kepada ibu bapa kemungkinan perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka yang terlibat.

Ibu bapa akan faham apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka yang terlibat dalam dunia rempit. Dulu mereka tak tahu kerana tidak ada pendedahan yang dibuat pasal perkara ini. Bila ada yang tidak faham, tidak mahu tonton dan menghalang anak-anak menonton, akan mengurangkan sasarannya. Sambutannya setakat ini alhamdulillah, tapi saya mahu lebih ramai lagi yang menonton kerana banyak pengajaran yang ditunjukkan.

Apa pengajarannya?

Idham: Kisah drama ini pasal seorang anak muda (lakonan Iqram) yang tidak ada pekerjaan dan asyik merempit. Dia berubah apabila bertemu dengan seorang wanita (lakonan Zeyna) yang cuba membawanya ke jalan yang betul. Ia menunjukkan jalan, bagaimana mahu berlumba dengan betul. Akhirnya lelaki itu menjadi seorang pelumba dan meninggalkan aktiviti rempit.

Adakah mat rempit marah-marah?

Idham: Saya tak kisah kalau ada golongan mat rempit yang marah apabila saya menerbitkan kisah dalam dunia mereka. Kalau mereka marah bermakna mereka tidak mahu berubah. Biarlah mereka, mereka mungkin sudah hanyut jauh. Saya mahu tunjukkan jalan kepada orang yang mahu berubah dan juga memberi amaran kepada orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia ini. Itulah sasarannya dan sebab itulah saya menerbitkan drama ini.

Apa projek terbaru

Idham: Saya sekarang sedang membuat persiapan untuk memulakan penggambaran filem Puaka Niyang Rapik. Setelah drama itu mendapat sambutan menggalakkan, saya ingin membawanya ke filem pula.

Ceritanya sama?

Idham: Ceritanya tak sama dan mungkin pelakonnya juga akan bertukar. Pendekatan filem ini berbeza dengan drama. Kita menerapkan konsep adventure horror. Kalau tiada aral, bulan Mei depan kita akan memulakan penggambaran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0315&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_09.htm&arc=hive

0 comments: