KUALA LUMPUR 20 April - Awas mat rempit! Anda diperhatikan.
Polis kini memberi amaran keras kepada golongan mat rempit yang seolah-olah tidak ambil peduli dengan nasihat sebaliknya terus mencabar pihak berkuasa dengan aksi-aksi berbahaya mereka.
Amaran tersebut dinyatakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang memandang serius dan mengakui perkara itu sedang diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, operasi bersepadu khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur setiap hari akan turut melibatkan usaha membanteras kegiatan itu.
"Kita akan memberi tumpuan sama usaha menangani gejala mat rempit ini khususnya pada hujung minggu dan lokasi-lokasi tertentu selain yang terlibat dengan jenayah.
"Polis sama sekali tidak memandang ringan perkara itu sebaliknya sentiasa memantau tempat-tempat yang 'gemar' dikunjungi oleh golongan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kegiatan mat rempit yang mulai bermaharajalela sejak kebelakangan ini di lokasi-lokasi tertentu di ibu negara malah semakin berani menjalankan aktiviti mereka secara terbuka.
Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini turut menyiarkan gambar sebilangan mat rempit yang berlumba di Dataran Merdeka pada hujung minggu.
Chin Wah memberitahu, dalam hal ini, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dan sekolah untuk memantau kegiatan pelajar yang terbabit dalam gejala tidak sihat itu.
Dalam pada itu, beliau mengakui pihaknya menghadapi kesukaran kerana pelajar terlibat akan dibebaskan oleh mahkamah kerana di bawah umur dan biasanya akan mengulangi perkara sama.
Source: Utusan Malaysia, 21 April 2009
0 comments:
Post a Comment