Lagi-lagi mat rempit

Sunday, April 5, 2009


AMPANG JAYA: Kejam apabila sekumpulan 15 Mat Rempit membelasah dua beradik sehingga menyebabkan seorang daripada mereka hampir buta dalam kejadian di Taman Dato Ahmad Razali di sini, Sabtu lalu.

Dalam insiden itu, kumpulan yang bersenjatakan kayu besbol, besi, topi keledar dan rantai besi tanpa belas kasihan memukul kedua-dua mangsa walaupun mereka berulang kali merayu agar tidak diperlakukan sedemikian.

Malah, mangsa yang berlumuran darah dan cuba lari menyelamatkan diri masih dikejar kumpulan berkenaan yang tidak puas hati selepas kedua-dua beradik terbabit enggan membayar wang yang diminta untuk mengambil semula motosikal yang dicuri kumpulan itu.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, 24, berkata kejadian berlaku selepas motosikal adiknya dicuri tiga ahli kumpulan terbabit sehari sebelum kejadian.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, adiknya berseorangan di pondok telefon sebelum didatangi tiga lelaki terbabit dengan lagak samseng dan terus mengambil motosikal milik adiknya.

“Esoknya, adik saya terima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Azri yang bertanya sama ada dia mahukan kembali motosikalnya.

“Selepas beberapa minit berbual, dia meminta adik saya ke taman permainan di kawasan perumahannya,” katanya, semalam.

Menurut Mamat, lelaki itu mahu bercakap dengannya untuk berbincang ‘harga’ yang perlu dibayar jika inginkan kembali motosikal itu.

“Ketika perbualan dalam telefon itu dia bertanyakan nama sebelum mengatakan yang dia mengenali saya dan pernah berkawan ketika bersekolah.

“Dia kemudian bertanya sama ada saya mengenali seorang lagi rakan yang tinggal di kawasan perumahan terbabit dan selepas diberitahu namanya, saya mengakui memang kenal, namun sudah lama tidak bertemu,” katanya.

Menurutnya, ketika berbual, lelaki bernama Azri itu kemudian cuba berlembut dan memberitahu mereka adalah rakan lama sebelum meminta dia dan adiknya datang ke taman permainan untuk mengambil kembali motosikal.

“Saya yang tidak mengesyaki muslihat mereka kemudian bersetuju menemani adik untuk mengambil semula motosikalnya,” katanya.

Selepas bersetuju, Mamat dan adiknya pergi ke Taman Dato Ahmad Razali dan menunggu di lokasi dijanjikan.

Kira-kira 10 minit menunggu, mereka didatangi 15 lelaki yang membawa senjata sebelum seorang daripada mereka bertanyakan nama mangsa dan adiknya.

Mamat berkata, sebaik dia memberitahu namanya kepada mereka, secara tiba-tiba dia dan adiknya diserang secara menggila oleh kumpulan terbabit tanpa mengetahui apa punca dan kesalahan yang dilakukan.

“Saya puas menepis, merayu dan menjerit meminta pertolongan namun mereka langsung tidak mempunyai perasaan belas kasihan apabila terus menerus memukul di muka, badan dan tangan.

“Ketika itu, saya lihat adik turut dipukul dan terbaring menahan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan hampir pitam itu, dia sempat menarik adiknya sebelum mereka berdua dapat meloloskan diri daripada kepungan kumpulan terbabit.

Difahamkan, kumpulan terbabit memang digeruni di kawasan itu kerana sering membuat kecoh dan kerap bergaduh menggunakan senjata.

Mangsa bersama adiknya kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati urat mata kirinya terputus dan perlu menjalani rawatan sekali lagi, esok.

Mangsa turut melaporkan kejadian itu di Balai Polis Ampang Jaya.'

http://fiq-life.blogspot.com/2008/11/kisah-mat-rempit-lagi.html

0 comments: