87% 'mat rempit' 14-25 tahun

Sunday, April 5, 2009


KUALA LUMPUR 17 Mac - Kira-kira 87 peratus daripada 'mat rempit' terdiri daripada golongan berusia antara 14 hingga 25 tahun.

Itu merupakan penemuan daripada kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng berkata, sebanyak 48.1 peratus 'mat rempit' yang menjadi responden kajian itu menyatakan faktor penglibatan mereka disebabkan oleh kebosanan.

Katanya, 37 peratus lagi bertujuan mengisi masa lapang diikuti pengaruh kawan (27.8 peratus), menunjukkan kehebatan (10.2 peratus), hadiah yang ditawarkan (5.6 peratus ) dan untuk mendapat pengiktirafan (9.3 peratus).

"Dari aspek psikologi, 'mat rempit' adalah dari kalangan mereka yang mempunyai ciri-ciri personaliti tertentu yang suka mencari kebebasan, tertarik dengan tawaran hadiah berupa wang ringgit, motosikal dan wanita serta yang lebih penting diiktiraf sebagai hero," katanya yang menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Siew Fook berkenaan tindakan dan program kementerian untuk menangani masalah 'mat rempit', Jeck Seng berkata pihaknya berterusan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sukan bermotor dengan kerjasama kelab dan persatuan berkaitan.

Katanya, antara aktiviti yang dimaksudkan ialah klinik, kursus, kejohanan sukan bermotor tempatan seperti cubcross, motocross, moto-x, cub prix, skuter prix, go-kart dan konvoi kebajikan.

Katanya, dalam program berkenaan, kementerian mendapat kerjasama agensi lain untuk menyelitkan slot pameran keselamatan jalan raya, bahaya dadah dan alkohol serta penerapan nilai jati diri.

"Kaedah melalui program ini walaupun mungkin akan mengambil masa bagi mendidik serta mengubah sikap negatif di kalangan belia bermasalah seperti 'mat rempit', namun ia harus dilaksanakan secara konsisten.

"Memandangkan kebanyakan golongan belia meminati sukan bermotor, maka program sukan bermotor harus dijadikan salah satu alat untuk menarik mereka menyertai program anjuran kerajaan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0318&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_06.htm&arc=hive

0 comments: