9 pelajar menyamun ditahan

Sunday, April 5, 2009

KUALA LUMPUR 29 Mac - Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun melibatkan golongan mat rempit di daerah Cheras ekoran penahanan sembilan pelajar kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Dahlia kira-kira pukul 2 pagi berdasarkan maklumat orang ramai dan intipan polis selama seminggu.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 18 tahun itu sedang melepak di rumah berkenaan.

"Setakat ini, kami mendapati mereka terlibat dalam lima kes samun di sekitar Cheras dan jumlah itu mungkin meningkat lagi selepas soal siasat.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis Eramin 5," katanya selepas majlis dialog bersama penduduk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini.

Menurut Ahmad Amir, polis merampas beberapa buku cek kosong serta kad kredit dipercayai hasil samun.

Beliau berkata, polis turut menyiasat motosikal yang digunakan oleh mereka dipercayai semasa menyamun sama ada ia adalah motosikal curi.

Ditanya mengenai modus operandi kumpulan itu, beliau berkata, mereka selalunya bergerak secara berkumpulan untuk menyerang mangsa bagi membolehkan mereka mudah melarikan diri.

Tambah beliau, kegiatan mereka dilakukan semasa awal pagi iaitu antara pukul 1 pagi dan 6 pagi.

Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0330&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_09.htm&arc=hive


0 comments: