Mangsa mat rempit terima sumbangan

Sunday, April 5, 2009

KANGAR 25 Mac - Seorang anggota Polis Sukarelawan, Sarjan Hashim Saad yang menjadi mangsa langgar lari oleh mat rempit, sebak ketika menerima sumbangan Tabung Anugerah Perwira sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-202 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Hashim, 44, yang bertugas sebagai pembantu am di pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis menangis sebaik sahaja bersalaman dengan Pemangku Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Abu Bakar Johar yang menyerahkan cek sumbangan bernilai RM4,000.

Sebelum menerima cek itu, anggota polis itu dilihat berdiri di luar khemah utama sambil menggunakan sepasang tongkat yang menyokongnya untuk berdiri.

Hashim mula terharu apabila pengacara majlis menceritakan bagaimana kejadian malang yang menimpanya pada 27 Januari lalu.

Lebih menyentuh perasaan Hashim ialah apabila Pemangku Ketua Polis Perlis segera keluar dari khemah utama untuk menyerahkan cek berkenaan setelah mendapati sukarelawan tersebut berjalan menggunakan tongkat.

Ternyata Hashim tidak dapat menahan air mata terutama apabila Abu Bakar menepuk bahunya sambil memberikan kata-kata semangat juang polis.

Setelah mendapati Hashim menangis, Abu Bakar kemudian menenangkannya dengan memberi kata- kata perangsang.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, Hashim yang ketika itu bertugas dalam 'Ops Lumba Haram' dilanggar oleh sekumpulan mat rempit yang enggan berhenti dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Mengkuang Layar ke Tambung Tulang di sini.

Akibatnya, dia yang cedera parah dan patah kaki kiri dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di sini.

Ekoran kejadian tersebut, Hashim terlantar di hospital selama sebulan dan terpaksa menggunakan kerusi roda enam bulan selepas itu.

"Peristiwa saya menjadi mangsa langgar lari itu sukar dilupakan. Namun begitu, ia tidak sesekali mematahkan semangat juang saya untuk terus berkhidmat sebagai Polis Sukarelawan.

"Apabila pulih sepenuhnya nanti, saya akan menyambung semula tugas berkenaan," ujarnya ketika ditemui selepas menerima cek tersebut.

Hashim berkata, dia difahamkan empat pelumba motosikal haram yang melanggarnya berjaya dikesan polis dan telah menerima hukuman masing-masing.

Sementara itu, sebanyak 69 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perlis menerima penghargaan sempena Peringatan Hari Polis Ke-202.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0326&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm&arc=hive

0 comments: